fb fb fb fb fb

China lancar misi Shenzhou-20 ke Stesen Angkasa Lepas Tiangong

Foto Reuters

BEIJING, 26 April – China melakar satu lagi kejayaan dalam penerokaan angkasa lepas apabila berjaya melancarkan misi berawak Shenzhou-20 ke Stesen Angkasa Lepas Tiangong yang kini dihuni secara kekal.

Misi terbaharu itu merupakan penerbangan berawak ke-15 dan misi ke-20 secara keseluruhan di bawah program Shenzhou yang telah bermula lebih tiga dekad lalu.

Kapal angkasa Shenzhou-20 yang membawa tiga angkasawan telah berlepas pada pukul 5.17 petang (waktu tempatan) dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, barat laut China, menggunakan roket Long March-2F.

Peristiwa bersejarah itu disiarkan secara langsung oleh penyiar rasmi negara itu, CCTV.

Menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua, kapal angkasa berkenaan berjaya berlabuh dengan Stesen Angkasa Tiangong pada hari yang sama, memetik kenyataan Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA).

Pelancaran itu memperkukuh kedudukan China sebagai kuasa besar angkasa, di samping menarik minat dan kerjasama negara-negara lain dalam bidang penerokaan luar angkasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan dilaporkan sedang menjalankan proses saringan awal bagi menghantar angkasawan pertama negara itu menyertai misi Shenzhou akan datang.

Sekiranya berjaya, angkasawan tersebut akan menjadi individu asing pertama yang menjejakkan kaki ke stesen angkasa China.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN