fb fb fb fb fb

23 terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza

Foto AFP

GAZA CITY, 25 April- Agensi pertahanan awam Gaza pada Jumaat melaporkan bahawa angka kematian akibat serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di utara wilayah Palestin itu semalam, meningkat kepada 23 orang.

Pegawai agensi tersebut, Mohammed al-Mughayyir berkata pasukan penyelamat telah menemui 11 mayat sepanjang malam dan pagi tadi di lokasi kejadian di Jabalia.

"Ini menjadikan jumlah korban kepada 23 orang, termasuk 12 mayat yang dijumpai sejurus selepas serangan berlaku semalam," katanya kepada AFP.

Kawasan Jabalia di utara Gaza terus menjadi tumpuan serangan tentera Israel sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.

Walaupun tentera Israel telah beberapa kali mengumumkan kawasan itu "dibersihkan" daripada pejuang Hamas, operasi berulang kali dijalankan atas alasan pejuang Hamas kembali berkumpul di kawasan tersebut.

Dalam satu serangan berasingan pada Khamis, Israel turut menyasarkan sebuah bangunan yang sebelum ini berfungsi sebagai balai polis.

Menurut penyelamat, jumlah kematian dalam serangan tersebut kini meningkat kepada 11 orang.

Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan "pusat kawalan dan arahan Hamas" di kawasan Jabalia, namun tidak memperincikan sasaran sebenar.

Serangan udara Israel berterusan pada Jumaat, termasuk satu insiden di kawasan khemah di Al-Mawasi, selatan bandar Khan Yunis yang mengorbankan lima sekeluarga termasuk seorang wanita hamil, menurut jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal.

Sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada 18 Mac lalu selepas gencatan senjata dua bulan dengan Hamas gagal, sekurang-kurangnya 1,978 orang terbunuh di Gaza.

Ini menjadikan jumlah korban keseluruhan perang mencecah 51,355 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM