fb fb fb fb fb

Perkasa industri pertahanan, LTAT jalin kerjasama dengan konglomerat UAE

(FOTO FB MENTERI)

ABU DHABI, 21 September - Usaha memperkukuh industri pertahanan antara Kerajaan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diteruskan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat konglomerat UAE, EDGE Group.

MoU itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group, Mansour Mohamed Al Mulla ketika lawatan rasmi Kementerian Pertahanan di Abu Dhabi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata MoU tersebut membolehkan penerokaan peluang kerjasama lebih erat antara LTAT dengan EDGE Group dalam usaha menyokong pelbagai bentuk keupayaan dan penyelesaian pertahanan.

Katanya, kerjasama EDGE Group dan LTAT adalah bagi mengenal pasti potensi pelaburan bersama dalam bidang industri strategik dan pertahanan di Malaysia.

(FOTO FB MENTERI)

“Mewakili Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa bangga dan kagum melihat kesungguhan Kerajaan UAE mengembangkan industri pertahanannya ke tahap yang sangat memberangsangkan.

“Hubungan akrab Malaysia-UAE, kerjasama erat peringkat menteri, kementerian dan angkatan tentera akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa lagi industri pertahanan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Pada hari kedua lawatan rasmi bersama delegasi Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hishammuddin bersama delegasi Malaysia dibawa melawat ke EDGE Group yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

Katanya, lawatan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk mempelajari pendekatan UAE memacu industri pertahanan mereka, terutama menerusi Tawazun Industrial Park.

“Ia penting dan selari dengan perancangan Kerajaan Malaysia memandangkan ketika ini Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP) sedang giat dirangka,” katanya.

Media Baharu