BANGKOK, 7 Ogos- Pendakwa raya Thailand memfailkan pertuduhan terhadap 16 orang dan tujuh firma dalam kes membabitkan bangunan tinggi di Bangkok yang runtuh akibat gempa bumi.
Menara setinggi 30 tingkat itu runtuh beberapa saat selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar pada 28 Mac lalu, mengorbankan ribuan orang.
Menara itu, yang menempatkan pejabat audit negara, adalah satu-satunya bangunan di Bangkok yang runtuh, mengorbankan 89 orang di tapak tersebut, kebanyakannya pekerja binaan.
Kejadian itu mendorong siasatan undang-undang.
Pejabat Peguam Negara Thailand memaklumkan, satu kes telah dikemukakan ke mahkamah jenayah, dengan keputusan dijangka dalam beberapa bulan.
"Penyiasat bersetuju untuk mendakwa 23 individu dan entiti undang-undang atas salah laku profesional dan dokumen palsu," katanya dalam satu kenyataan.
Dakwaan itu termasuk 16 individu dan tujuh firma, dan turut menyenaraikan nama orang yang mewakili beberapa syarikat tertuduh, termasuk firma seni bina dan perniagaan pembinaan China.
Butiran lanjut mengenai dakwaan itu tidak dikeluarkan.
Penyiasat jabatan kehakiman sebelum ini memaklumkan mereka sedang menyiasat kualiti bahan binaan yang digunakan di tapak berkenaan.
Antara individu yang didakwa ialah Premchai Karnasuta, salah seorang taikun terkemuka Thailand.
Beliau berkhidmat sebagai pengarah eksekutif syarikat Italian-Thai Development (ITD), salah satu perniagaan pembinaan terbesar, yang juga telah didakwa.
Jika sabit kesalahan, Premchai yang berusia 71 tahun berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda 200,000 baht ($6,000).
Pada 2021, mahkamah Thai menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua bulan kepadanya kerana memburu hidupan liar yang dilindungi, termasuk harimau hitam.
Dia dibebaskan pada awal 2023 sebagai sebahagian daripada kumpulan banduan yang diberi pengampunan kerana berkelakuan baik.
Menurut pemfailan awam dengan Bursa Saham Thailand, Premchai memiliki hampir 12 peratus saham ITD.
Dia telah dibawa ke dalam tahanan pra-perbicaraan pada Mei. -AFP