PHNOM PENH, 7 Ogos - Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyambut baik hasil Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Kemboja-Thailand yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis, sambil menggesa agar anggota tentera Kemboja yang kini ditahan pihak tentera Thailand segera dikembalikan.
Menurut Manet, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggiatkan penyediaan Sistem Pemantauan Gencatan Senjata oleh Pasukan Pemerhati ASEAN, serta menempatkan Pasukan Pemerhati Interim yang diketuai Divisyen Tentera Malaysia bagi pemerhatian segera dan persiapan lanjut pasukan ASEAN itu.
Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Menteri Pertahanan Negara, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit menghadiri mesyuarat GBC berprofil tinggi yang berlangsung di Malaysia dengan kehadiran negara itu sebagai pemerhati.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak atas kejayaan Mesyuarat Luar Biasa GBC Kemboja-Thailand, yang turut disertai pemerhati dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook.
Mesyuarat itu diadakan susulan gencatan senjata antara kedua-dua negara pada 28 Julai lalu, selepas konflik bersenjata lima hari meletus di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand.
Ketegangan bermula pada 24 Julai susulan kejadian tembak-menembak antara anggota tentera di kawasan yang dipertikaikan dan menempatkan kuil purba.
Kedua-dua negara telah lama berdepan pertikaian mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan.
Gencatan senjata terbaharu itu dicapai hasil usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN semasa, dengan sokongan masyarakat antarabangsa.
Dalam hantaran sama, Manet turut mengulangi gesaan agar kesemua 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sepanjang konflik lima hari itu dibebaskan serta-merta. -BERNAMA