TOKYO, 7 Ogos- Syarikat automotif gergasi Jepun, Toyota mengurangkan unjuran keuntungan bersih tahunannya kepada 2.66 trilion yen ($18.06 bilion) berikutan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).
"Disebabkan kesan tarif AS dan faktor lain, keputusan sebenar menunjukkan penurunan pendapatan operasi dan ia seperti ramalan yang dibuat," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Saham Toyota telah jatuh 0.6 peratus dalam dagangan Tokyo.
Pentadbiran Donald Trump pada April lalu mengenakan levi 25 peratus ke atas kereta Jepun yang diimport ke Amerika Syarikat, memberi tamparan hebat kepada Jepun dan sektor automotifnya.
Walaupun Tokyo dan Washington mengumumkan perjanjian perdagangan pada Julai, menurunkan kadar itu kepada 15 peratus, namun masih belum jelas tarikh sebenar tarif tersebut akan berkuat kuasa.
Terdapat juga kekeliruan sama ada tarif kereta serta levi "timbal balik" yang lain akan dihadkan pada 15 peratus, atau melebihi tarif yang ditetapkan.
Industri automotif sebelum ini hanyalah dikenakan tarif 2.5 peratus.
Ini bermakna dengan pertambahan 25 peratus menjadikan levi kini berada pada 27.5 peratus.
Pendapatan pada suku pertama Toyota dari April hingga Jun meningkat 3.5 peratus, tetapi pendapatan bersih turun 36 peratus. -AFP