GENEVA, 7 Ogos- Switzerland mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan kadar tarif 39 peratus yang dikenakan Washington terhadap barangan negara itu.
Langkah diambil selepas pegawai tertinggi kerajaan gagal berunding dengan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk tidak mengenakan tarif sejumlah itu.
Kadar terbabit adalah salah satu tertinggi yang dikenakan ke atas negara yang berdagang dengan Amerika Syarikat (AS).
Ia akan menjejaskan seluruh sektor ekonomi Switzerland, terutama pembuatan jam dan jentera perindustrian, selain coklat dan keju.
"Selepas delegasi pulang dari AS, Majlis Persekutuan akan mengadakan mesyuarat luar biasa pada awal petang ini.
"Satu kenyataan akan menyusul selepas mesyuarat," menurut kenyataan kerajaan Switzerland di platform X.
Presiden Switzerland Karin Keller-Sutter dan Menteri Ekonomi Guy Parmelin telah berkunjung ke AS tetapi hanya dapat bertemu Setiausaha Negara Marco Rubio dan bukannya Trump.
Switzerland telah terjejas teruk oleh kadar tarif baharu AS yang berkuat kuasa pada Khamis.
Gelombang tarif itu tidak meliputi sektor yang disasarkan secara berasingan seperti farmaseutikal,yang menjadi sektor utama bagi Switzerland, sekali gus mengancam puluhan ribu pekerjaan di negara Alpine.
Trump mewajarkan tindakannya itu dengan menyebut bahawa Switzerland mempunyai lebihan dagangan mencecah puluhan bilion dolar dengan AS. -AFP