GENEVA, 22 Januari- Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan berkenaan negara-negara akan gagal mencapai perjanjian kesiapsiagaan wabak menjelang Mei, dengan mengatakan "generasi akan datang mungkin tidak memaafkan kita."
Pandemik COVID-19 pernah menggegar dunia dengan melibatkan 194 negara anggota WHO sedang merundingkan perjanjian antarabangsa bertujuan untuk memastikan negara lebih bersedia menangani isu kesihatan atau mencegah penyakit.
Rancangan itu adalah untuk memeterai perjanjian dalam mesyuarat tahunan WHO pada 2024 yang akan bersidang pada 27 Mei depan.
Tedros berkata, masa semakin suntuk sekiranya tiada penyertaan, keseluruhan projek berisiko tidak terlaksana.
Dalam pembukaan mesyuarat lembaga eksekutif WHO di Geneva, Tedros mengingatkan pemimpin dunia semasa Perhimpunan Agung PBB bersetuju untuk menyelesaikan rundingan mengenai perjanjian pandemik, dan pindaan kepada Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR), menjelang Mei tahun ini.
"Saya bimbang negara anggota mungkin tidak memenuhi komitmen itu. Masa sangat singkat. Dan terdapat beberapa isu tertunggak yang masih perlu diselesaikan," kata Tedros.
"Saya menggesa semua negara anggota untuk bekerja dengan segera dan bertujuan untuk mencapai konsensus mengenai perjanjian kukuh yang akan membantu melindungi generasi akan datang untuk mendepani wabak masa depan."
Negara anggota WHO memutuskan pada Disember 2021 untuk melancarkan proses rundingan dan penggubalan bagi instrumen antarabangsa baharu mengenai pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas wabak.
Perjanjian itu bertujuan untuk memastikan kesediaan global serta tindak balas lebih saksama untuk pandemik masa depan.- AFP