fb fb fb fb fb

Perjanjian gencatan senjata hampir dimuktamadkan- Ketua Hamas

Kanak-kanak Palestin melihat orang ramai berdiri di atas runtuhan bangunan yang musnah semasa serangan Israel ke atas Rafah, di selatan Semenanjung Gaza, pada 20 November 2023/ AFP

DOHA, 21 November- Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata pada Selasa usaha perjanjian gencatan senjata dengan Israel semakin hampir menurut satu kenyataan yang disiarkan di Telegram.

"Kami hampir mencapai perjanjian mengenai gencatan senjata," kata Haniyeh, menurut catatan itu.

Rundingan tersebut bagi memeterai perjanjian untuk membenarkan pembebasan kira-kira 240 orang kebanyakannya tebusan Israel pada serangan 7 Oktober lalu.

Israel melancarkan kempen pengeboman tanpa henti dan serangan darat sebagai tindakan balas terhadap serangan itu, berikrar untuk memusnahkan Hamas dan membebaskan tebusan.

Menurut kerajaan Hamas di Gaza, perang itu telah membunuh lebih daripada 13,300 orang dengan beribu-ribu daripadanya adalah kanak-kanak.

Rundingan agak tegang berlangsung di Qatar sebagai 'orang tengah' di mana disitu terletak pejabat politik Hamas dan tempat Haniyeh berpangkalan.

Perdana Menteri Qatar berkata bahawa perjanjian adalah untuk membebaskan beberapa tebusan sebagai balasan untuk gencatan senjata sementara.

Pada Isnin, Presiden AS, Joe Biden, berkata beliau percaya perjanjian sudah hampir dicapai, walaupun serangan tentera Israel ke atas Bandar Gaza berterusan dan roket masih dilancarkan ke Israel sepanjang rundingan diadakan.

"Kami hampir mencapai persetujuan sekarang berbanding sebelum ini," kata jurucakap White House, John Kirby, mengenai perjanjian tebusan.

Perjanjian tentatif termasuk gencatan senjata selama lima hari, terdiri daripada gencatan senjata di darat dan menghadkan operasi udara Israel di selatan Gaza.

Sebagai balasan, 50 ke 100 banduan yang ditahan oleh Hamas dan Jihad Islam --kumpulan Palestin yang berasingan -- akan dibebaskan.

Mereka termasuk orang awam Israel dan tawanan warganegara lain, tetapi tiada anggota tentera.

Di bawah perjanjian yang dicadangkan itu, kira-kira 300 rakyat Palestin akan dibebaskan dari penjara Israel, antaranya wanita dan kanak-kanak.

White House berkata rundingan itu berada di peringkat akhir tetapi enggan memberikan butiran lanjut, mengatakan ia boleh menjejaskan keputusan yang sukses.

Secara berasingan, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata pada hari Isnin bahawa presidennya telah pergi ke Qatar untuk bertemu Haniyeh Hamas "untuk membawa isu kemanusiaan berkaitan konflik bersenjata di Israel dan Gaza".

Dalam satu kenyataan, pertubuhan yang berpangkalan di Geneva itu berkata ia terus "merayu untuk perlindungan segera bagi semua mangsa dalam konflik itu, dan untuk mengurangkan situasi bencana kemanusiaan di jalur Gaza".- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI