BAITULMAQDIS, 10 Oktober -Semua pihak terlibat telah menandatangani fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, dengan Israel menyatakan bahawa pembebasan tebusan oleh Hamas akan "menamatkan perang ini".
Perjanjian yang dimeterai di Mesir itu berdasarkan pelan damai 20 perkara untuk Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bulan lalu.
Trump dalam kenyataan kepada media memaklumkan bahawa beliau merancang untuk berlepas ke Timur Tengah pada Ahad.
Walaupun perjanjian ini disambut dengan kegembiraan di Gaza dan Israel serta mendapat pujian daripada pemimpin dunia, beberapa isu masih belum diselesaikan.
Antaranya termasuk tuntutan agar Hamas melucutkan senjata dan cadangan penubuhan pihak berkuasa peralihan di Gaza yang akan dipimpin oleh Trump sendiri.
Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan, menolak cadangan tersebut dan menyatakan bahawa ia ditolak oleh semua pihak Palestin, termasuk Pihak Berkuasa Palestin.
"Tiada rakyat Palestin yang akan menerima perkara ini. Semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Palestin, menolaknya," kata Hamdan kepada saluran penyiaran Al Araby yang berpangkalan di Qatar.
Trump berkata isu pelucutan senjata Hamas akan dibincangkan dalam fasa kedua pelan damai berkenaan.
"Akan ada pelucutan senjata,” katanya kepada wartawan, sambil menambah bahawa tentera Israel juga akan melakukan “pengunduran”. - AFP