Mahmud Abbas harap keamanan kekal, sahkan reformasi sedang dijalankan
BAITULMAQDIS, 10 Oktober — Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, menyuarakan harapan agar keamanan antara Palestin dengan Israel berkekalan, susulan perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Beliau turut mengesahkan pembaharuan terhadap Pihak Berkuasa Palestin kini sedang dilaksanakan.
Dalam temu bual dengan saluran televisyen Israel yang jarang dilakukan oleh pemimpin Palestin, Abbas menyifatkan perjanjian itu sebagai detik bersejarah.
“Apa yang berlaku hari ini merupakan detik bersejarah. Kami telah lama berharap, dan terus berharap, agar pertumpahan darah di tanah kami dapat dihentikan, sama ada di Gaza, Tebing Barat atau Baitulmaqdis Timur,” katanya.
Ditanya mengenai pelaksanaan pembaharuan yang digariskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam pelan 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza, Abbas menegaskan proses reformasi telah pun bermula.
Antara yang dilakukan termasuk skim pembayaran kepada keluarga tahanan Palestin dan mereka yang terbunuh akibat tindakan Israel.
Menurut Abbas, sebahagian reformasi telah selesai, manakala selebihnya masih dalam proses bagi menjadikan Palestin sebagai model kepimpinan yang berkesan. -AFP