fb fb fb fb fb

Perintah pindah di Rafah 'tidak berperikemanusiaan'- PBB

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu Volker Turk/AFP

GENEVA, 7 Mei- Arahan Israel supaya rakyat Palestin berpindah dari timur Rafah di Gaza adalah tidak berperikemanusiaan.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu Volker Turk memberi amaran bahawa penderitaan dan kemusnahan akan melebihi tahap yang lebih dahsyat.

Beliau berkata memaksa ratusan ribu orang melarikan diri ke kawasan yang hampir tiada akses kepada bantuan untuk terus hidup adalah "tidak dapat dibayangkan".

“Rakyat Gaza terus dilanda bom, penyakit, dan juga kebuluran,” katanya menerusi kenyataan.

“Dan hari ini, mereka telah diberitahu bahawa mereka mesti berpindah sekali lagi apabila operasi ketenteraan Israel ke Rafah meningkat.

"Ini tidak berperikemanusiaan. Ia bertentangan dengan prinsip asas undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa, yang mempunyai perlindungan berkesan terhadap orang awam sebagai kebimbangan utama mereka.

Dalam pada itu, dua laluan masuk ke Rafah telah ditutup pada hari Isnin dan menyebabkan aliran masuk bantuan kemanusiaan turut terjejas.

Tentera Israel menghalau penduduk Palestin keluar dari Rafah, ketika ia dilapor bersedia untuk melancarkan serangan darat, sekali gus mencetuskan kebimbangan global.

Konflik berterusan Israel-Hamas telah membunuh lebih 34,700 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kendalian Hamas.-AFP

ROSLINA BINTI DIN