fb fb fb fb fb

Perhimpunan Agung PBB kutuk Rusia "rampas" wilayah Ukraine

 (Majoriti besar ahli Perhimpunan Agung PBB mengundi menyokong resolusi itu/REUTERS)

NEW YORK, 13 Oktober- Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada hari mengundi mengutuk tindakan Rusia mengilhak beberapa wilayah Ukraine.

Perhimpunan agung meluluskan resolusi itu dengan 143 menyokong dan lima menentang.

Bangladesh, Iraq dan Senegal yang berkecuali dalam undian pada Mac, kali ini mengundi untuk mengutuk Rusia.

35 negara berkecuali termasuk China, India, Afrika Selatan dan Pakistan walaupun terdapat usaha diplomatik Amerika Syarikat untuk mendapatkan kutukan yang lebih jelas terhadap Moscow.

Resolusi itu "mengutuk penganjuran referendum oleh Persekutuan Rusia dalam sempadan Ukraine yang diiktiraf antarabangsa" dan "cubaan melakukan pengilhakan haram" terhadap empat wilayah Ukraine seperti diumumkan Presiden Vladimir Putin bulan lepas.

Ia menyeru semua agensi PBB dan antarabangsa agar tidak mengiktiraf sebarang perubahan sempadan yang diumumkan oleh Rusia dan menuntut Moscow "segera dan tanpa syarat membalikkan" keputusannya.

Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield menggesa semua negara supaya menghantar mesej bahawa dunia "tidak akan bertolak ansur dengan perampasan tanah jiran secara paksa."

"Hari ini Rusia menyerang Ukraine. Tetapi esok ia mungkin negara lain yang wilayahnya dilanggar. Mungkin anda. Anda mungkin seterusnya. Apa yang anda harapkan daripada dewan ini?" kata beliau. -AFP

(Linda Thomas-Greenfield menggesa semua negara supaya menghantar mesej bahawa
dunia 
"tidak akan bertolak ansur dengan perampasan tanah jiran secara paksa/REUTERS)

Media Baharu