fb fb fb fb fb

Britain hantar peluru berpandu pertahanan udara kepada Ukraine

(Peluru berpandu antara benua AIM 120 AMRAAM yang dibekalkan
Britain kepada tentera Ukraine/REUTERS)



LONDON, 13 Oktober- Britain mengumumkan akan membekalkan peluru berpandu pertahanan kepada Ukraine bagi membolehkan negara itu mematahkan serangan udara Rusia.

Malah, buat pertama kalinya, negara itu akan menyediakan roket yang mampu menembak jatuh peluru berpandu jelajah benua.

Pengumuman itu dibuat semalam selepas sekutu Barat berikrar untuk menghantar dengan segera pertahanan udara baharu ke Ukraine bagi meningkatkan perlindungan terhadap serangan udara Rusia.

Isnin lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin, melancarkan serangan di seluruh Ukraine berikutan letupan di sebuah jambatan ke semenanjung Crimea.

"Roket AMRAAM.akan disediakan dalam beberapa minggu akan datang untuk digunakan dengan sistem pertahanan udara NASAMS yang disediakan Amerika Syarikat (AS).

"Roket itu akan membantu melindungi infrastruktur negara kritikal Ukraine," kata Kementerian Pertahanan Britain dalam satu kenyataan.

Menteri Pertahanan Britain, Ben Wallace berkata, mereka akan menghantar ratusan dron untuk menyokong perkhidmatan perisikan Ukraine serta 18 meriam howitzer, selain 64 unit yang sudah dihantar.

"Senjata ini akan membantu Ukraine mempertahankan langit mereka daripada serangan dan mengukuhkan pertahanan peluru berpandu keseluruhan mereka bersama NASAMS AS," katanya

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pada Selasa lalu merayu kepada negara kaya G7 termasuk Britain untuk membantu Kyiv mewujudkan 'perisai udara'.

(Menteri Pertahanan Britain, Ben Wallace berkata, mereka akan menghantar ratusan dron untuk
menyokong perkhidmatan perisikan Ukraine serta 18 meriam howitzer, selain 64 unit yang sudah dihantar/REUTERS)


Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, berkata keutamaan penyokong Barat Ukraine adalah untuk menyediakan Kyiv dengan lebih banyak pertahanan udara bagi melindungi daripada serangan 'secara sembarangan' Rusia.

Menteri-menteri pertahanan dari perikatan tentera Barat juga mengadakan pertemuan semalam berhubung isu sama di Brussels. -AFP

Media Baharu