TULKARM, 6 Julai– Puluhan kediaman di kem pelarian Tulkarm, Tebing Barat, musnah selepas jentolak tentera Israel meratakan kawasan tersebut dalam operasi ketenteraan yang berterusan sejak Januari lalu.
Penduduk hanya diberi tempoh beberapa jam untuk mengalihkan barangan peribadi sebelum operasi perobohan dijalankan.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dan kemarahan penduduk yang menyifatkan ia bukan sekadar kehilangan tempat tinggal, malah satu usaha menghapuskan identiti mereka sebagai penduduk Palestin.
Seorang penduduk, Abd al-Rahman Ajaj, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
Beliau turut terkejut dengan skala perobohan yang begitu besar.
"Kami pulang ke kem dan mendapati rumah telah musnah. Tiada sebarang makluman atau amaran awal diberikan," katanya.
Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 104 bangunan lagi bakal dirobohkan di kem berkenaan minggu ini. – AFP