fb fb fb fb fb

Letupan awal pagi gegarkan Gaza

Foto AFP

GAZA, 7 Julai– Beberapa letupan kuat kedengaran di ruang udara Gaza awal pagi Ahad, ketika Israel bersiap menghantar delegasi ke Qatar bagi rundingan berhubung perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Letupan pertama dikesan sekitar pukul 5.08 pagi waktu tempatan dan berlaku dalam tempoh lima minit, diikuti asap tebal menjulang ke udara di beberapa kawasan sekitar Gaza.

Menurut Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, delegasi negara itu dijadual berlepas ke Qatar pada Ahad.

Bagaimanapun, Israel menolak perubahan syarat yang dikemukakan Hamas, yang dianggap tidak selari dengan cadangan gencatan senjata yang telah dipersetujui sebelum ini.

Hamas pada Jumaat memaklumkan bahawa mereka telah memberi maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS); hanya beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bahawa Israel telah bersetuju dengan “syarat-syarat yang diperlukan” untuk memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari.

Namun, seorang pegawai Palestin daripada kumpulan Hamas memaklumkan masih terdapat kebimbangan berhubung bantuan kemanusiaan, akses melalui lintasan Rafah di selatan, serta ketidaktentuan jadual penarikan tentera Israel.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM