fb fb fb fb fb

Banjir Texas: Angka korban meningkat 50 orang

Foto AFP

TEXAS, 7 Julai– Sekurang-kurangnya 50 mangsa termasuk 15 kanak-kanak terkorban dalam kejadian banjir kilat yang melanda kawasan tengah Texas, manakala puluhan lagi masih hilang, menyebabkan pasukan penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi bagi mengesan mangsa yang masih hidup.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan angka korban terus meningkat memandangkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan sepanjang hujung minggu ini.

Antara yang masih belum ditemukan ialah 27 peserta perempuan dari sebuah kem.

Di daerah Kerr, paras air Sungai Guadalupe meningkat mendadak daripada 2.3 meter kepada 9 meter dalam tempoh tiga jam awal pagi Jumaat, menjadikannya paras kedua tertinggi pernah direkodkan, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat.

Penduduk tempatan meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap kekurangan sistem amaran banjir awal.

"Bencana, memang bencana. Saya pernah lalui banyak perkara, tapi ini paling teruk. Seluruh bandar musnah," kata seorang penduduk, Andrea Hertzler.

Seorang lagi penduduk, Travis Buck, turut menyelar kelemahan tindak balas pihak berkuasa.

"Sepatutnya ada laluan pemindahan yang lebih baik. Kita telah dapat amaran sejak pukul 10.00 atau 11.00 malam sebelumnya. Sepatutnya ada tindakan lebih awal," tegasnya.

Gabenor Texas, Greg Abbott, dalam satu sidang media pada Sabtu, memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan melakukan segala usaha untuk mengesan mangsa yang masih hilang.

Amaran banjir masih dikeluarkan di beberapa kawasan memandangkan paras air sungai dan takungan terus meningkat.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM