KARACHI, 6 Julai – Angka kematian akibat runtuhan sebuah bangunan lima tingkat di Karachi meningkat kepada 27 orang ketika pasukan penyelamat memasuki peringkat akhir operasi pembersihan.
Jurucakap perkhidmatan penyelamat kerajaan 1122, Hassaan Khan berkata kebanyakan runtuhan telah dibersihkan dan operasi dijangka tamat pada sebelah petang.
“Setakat pagi Ahad, angka korban telah meningkat kepada 27 orang,” katanya kepada AFP.
Menurut pihak berkuasa, bangunan itu telah diisytihar tidak selamat dan notis pengosongan telah dikeluarkan kepada penghuni antara 2022 hingga 2024.
Namun begitu, beberapa tuan rumah dan penduduk mendakwa mereka tidak pernah menerima sebarang notis tersebut.
“Anak perempuan saya berada di bawah runtuhan,” kata Dev Raj, 54 tahun, yang ditemui di lokasi kejadian. “Dia baru enam bulan berkahwin. Sekarang dia terkubur di bawah runtuhan. Dia anak yang sangat saya sayangi.”
Karachi, yang dihuni lebih 20 juta orang, turut terkenal dengan isu pembinaan haram, infrastruktur uzur, serta ketidakpatuhan terhadap peraturan bangunan, menjadikan bandar raya itu terdedah kepada insiden sebegini.-AFP