MEXICO CITY, 6 Julai – Seorang pegawai kerajaan Mexico ditembak mati dalam satu serangan bersenjata ketika menghadiri perlawanan bola keranjang amatur di sebuah dewan sukan di tengah Mexico, Sabtu lalu.
Mangsa, Ignacio Alejandro Roaro, merupakan Setiausaha Majlis Bandaraya Apaseo el Grande di negeri Guanajuato.
Beliau maut di tempat kejadian selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu dewan sukan tersebut yang dipenuhi keluarga dan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan rasmi, Majlis Bandaraya Apaseo el Grande berkata: “Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan yang keji, pengecut dan tidak berperikemanusiaan yang telah meragut nyawa rakan sekerja dan sahabat kami.”
Menurut laporan media tempatan, seorang suspek bersenjata telah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.
Pada Jun lalu, 11 orang terbunuh manakala kira-kira 20 lagi cedera dalam satu serangan bersenjata di majlis kejiranan di Irapuato, kira-kira 80 kilometer dari lokasi kejadian Sabtu lalu.
Sebulan sebelumnya, 17 mayat ditemukan di sebuah rumah terbiar di bandar yang sama.
Menurut data rasmi, Guanajuato mencatatkan lebih 3,000 kes pembunuhan pada tahun lalu, menjadikannya negeri dengan jumlah korban tertinggi di seluruh Mexico, mewakili 10.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pembunuhan negara itu.-AFP