fb fb fb fb fb

Negara-negara BRICS suarakan kebimbangan terhadap tarif AS

Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 6 Julai– Pemimpin-pemimpin BRICS yang bersidang di Rio de Janeiro pada Ahad dijangka mengkritik langkah tarif perdagangan yang dilaksanakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang disifatkan sebagai tidak sah dan berisiko menjejaskan ekonomi global.

Menurut draf kenyataan sidang kemuncak yang diperoleh AFP, negara-negara membangun yang mewakili hampir separuh populasi dunia dan 40 peratus keluaran ekonomi global menyuarakan kebimbangan bersama terhadap tindakan tarif import oleh AS.

“Kami menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan langkah tarif dan bukan tarif secara unilateral yang menjejaskan perdagangan serta tidak selari dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” menurut kenyataan itu.

Langkah sedemikian, menurut kenyataan itu lagi, “berisiko terus merosotkan perdagangan global” dan “memberi kesan negatif terhadap prospek pembangunan ekonomi dunia”.

Sejak memegang jawatan pada Januari lalu, Trump telah beberapa kali mengenakan tarif hukuman ke atas rakan dan lawan dagang.

Terbaharu, beliau mengemukakan notis rasmi kepada negara-negara terlibat mengenai kadar tarif baharu yang dijangka dikuatkuasakan dalam masa terdekat. – AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM