fb fb fb fb fb

Cacar monyet dunia melebihi 70,000 kes -WHO

(Orang ramai beratur bagi mendapatkan suntikan vaksin cacar monyet
di Hospital Guy's tengah London, Britain/REUTERS)


GENEVA, 13 Oktober- Jumlah global wabak cacar monyet kini mencecah 70,000 kes dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengeluarkan amaran supaya orang ramai berjaga-jaga meskipun berlaku penurunan kes baharu.

Katanya, jumlah kes minggu lalu semakin meningkat di beberapa negara di Amerika dan menekankan mengenai kemunculan kes baharu meskipun perlahan di seluruh dunia, namun boleh menjadi masa 'paling berbahaya'.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata lebih 70,000 kes kini dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB tahun ini, dengan 26 kematian.

"Secara global, kes terus menurun, tetapi 21 negara pada minggu lalu melaporkan peningkatan kes, kebanyakannya di Amerika, yang menyumbang hampir 90 peratus daripada semua kes yang dilaporkan minggu lalu.

"Wabak yang semakin berkurangan boleh menjadi wabak paling berbahaya, kerana ia boleh mempengaruhi kita untuk berfikir bahawa krisis sudah berakhir dan menyebabkan kita alpa," katanya pada sidang akhbar di Geneva.

Beliau berkata, WHO sedang bekerjasama dengan beberapa negara untuk meningkatkan kapasiti ujian dan pada masa sama memantau trend.

(Maklumat umum tentang cacar monyet di pintu masuk Centre CeGIDD di Montpellier,
selatan Perancis pada 23 Ogos 2022/AFP)

"Kami bimbang mengenai laporan kes di Sudan, termasuk di kem pelarian berhampiran sempadan dengan Ethiopia.

"Seperti COVID-19, cacar monyet kekal sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan tahap antarabangsa dan WHO akan terus menganggap sedemikian," tambah Tedros.

Peningkatan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki; di luar negara Afrika di mana cacar monyet sudah lama menjadi penyakit endemik.

Lebih daripada 42,000 kes kini dilaporkan dari Amerika dan hampir 25,000 dari Eropah.

Kes turut dilaporkan di 107 negara anggota WHO tahun ini, walaupun 39 daripadanya tidak mencatatkan kes baharu dalam tempoh 21 hari lalu.

10 negara mencatat jumlah kes tertinggi ialah Amerika Syarikat (26,723), Brazil (8,147), Sepanyol (7,209), Perancis (4,043), Britain (3,654), Jerman (3,640), Peru (2,587), Colombia (2,453), Mexico (1,968) dan Kanada (1,400).

Negara-negara itu juga menyumbang hampir 87 peratus daripada kes global.

Data WHO juga menunjukkan, 97 peratus pesakit adalah lelaki, dengan purata umur 35 tahu, 90 peratus dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki manakala 49 peratus lagi adalah positif HIV.

Jangkitan menyebabkan demam, sakit otot dan lepuh kulit yang besar seperti bisul. -AFP

Media Baharu