SINGAPURA, 7 Julai - Bilangan perkahwinan yang didaftarkan di Singapura pada 2024 menurun sebanyak tujuh peratus kepada 26,328 berbanding 28,310 perkahwinan yang direkodkan pada 2023.
Menurut laporan Xinhua, data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Singapura, purata jumlah perkahwinan tahunan dari 2020 hingga 2024 ialah 27,001, sedikit lebih rendah berbanding purata 27,389 yang direkodkan antara 2015 hingga 2019.
Kadar perkahwinan bagi lelaki dan wanita telah menurun sejak sedekad lalu. Pada 2024, terdapat 42 perkahwinan bagi setiap 1,000 lelaki bujang berumur 15 hingga 49 tahun, turun daripada 44.4 pada 2014.
Bagi wanita bujang dalam kumpulan umur sama, kadar itu merosot kepada 40.1 bagi setiap 1,000, berbanding 40.8 sedekad sebelumnya.
Usia median bagi perkahwinan pertama terus meningkat.Pada 2024, pengantin lelaki mencatat usia median 31.1 tahun, meningkat daripada 30.2 tahun pada 2014, manakala usia median pengantin perempuan meningkat kepada 29.6 tahun daripada 28.2 tahun.
Laporan itu menyatakan bahawa keadaan itu mencerminkan trend berterusan ke arah perkahwinan lewat.
Pada 2024, sebanyak 7,382 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pembatalan, meningkat 3.7 peratus daripada 7,118 kes pada 2023. - BERNAMA