HO CHI MINH CITY, 7 Julai – Lapan orang maut dalam kebakaran dahsyat yang berlaku pada Ahad malam di sebuah bangunan kediaman di Ward Phu Tho Hoa, Ho Chi Minh City, lapor Agensi Berita Vietnam.
Laporan awal menunjukkan kebakaran bermula selepas pukul 10 malam di tingkat bawah sebelum merebak dengan cepat, menyebabkan penghuni terperangkap di dalam bangunan.
Penduduk sekitar cuba memadamkan api tetapi gagal kerana api semakin marak dengan cepat. Asap tebal dan suhu panas menyebabkan ada di antara penduduk tidak sempat melarikan diri.
Seorang penduduk tempatan berkata kebakaran itu dipercayai bermula dari sebuah unit di tingkat bawah, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penghuni.
Orang ramai bergegas keluar menyelamatkan diri ketika jentera bomba dan ambulans tiba di lokasi, dan beberapa mayat dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa lapan orang terkorban dalam kebakaran itu.
Empat mangsa, termasuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, dibawa ke Hospital Thong Nhat, manakala empat lagi mangsa dewasa dibawa ke Hospital Tan Phu.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Nguyen Hoa Binh bagi pihak Perdana Menteri Pham Minh Chinh menyampaikan ucapan takziah dan mengarahkan tindakan segera susulan kebakaran di Kompleks Pangsapuri Doc Lap.
Jawatankuasa Rakyat Ho Chi Minh City diarahkan untuk segera memberikan bantuan kepada keluarga terjejas serta bekerjasama dengan Kementerian Keselamatan Awam untuk menyiasat punca kebakaran dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang pelanggaran. - BERNAMA-VNA