JAKARTA, 7 Julai - Indonesia sedang menyediakan lebih daripada 10,000 hektar tanah pertanian untuk menanam padi dan sayur-sayuran yang akan dibekalkan kepada Palestin.
Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman mengumumkan, program ini akan melibatkan rakan kongsi dari Palestin, yang akan menyumbangkan kepakaran mereka dalam bidang pertanian.
Tanah pertanian itu sedang disediakan di wilayah selatan Sumatera dan Kalimantan.
Satu perjanjian berhubung program ini ditandatangani di Jakarta antara Sulaiman dan rakan sejawatnya dari Palestin Rezq Basheer-Salimia.
Menurut Sulaiman, inisiatif ini mencerminkan kekuatan solidariti Indonesia terhadap rakyat Palestin, dengan matlamat menyokong keterjaminan makanan mereka sambil mereka terus berjuang untuk kemerdekaan.
“Apabila saudara-saudari kita memerlukan makanan, mereka hanya perlu mengambilnya dari tanah yang kita usahakan bersama,” katanya.
“Ini adalah satu bentuk bantuan kemanusiaan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Kami juga mendoakan kemerdekaan mereka dan kekal komited untuk menyokong keperluan makanan mereka,” katanya.
Sulaiman berkata Indonesia komited untuk menyumbangkan 10,000 tan beras kepada Palestin, dengan pengagihan diselaraskan berdasarkan kesiapsiagaan Kedutaan Palestin di Jakarta. - BERNAMA-XINHUA