NEW YORK, 7 Julai - Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memberi amaran bahawa sistem makanan di Gaza telah lumpuh sepenuhnya ketika kebuluran semakin meruncing di wilayah yang dikepung itu.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan, sekatan berterusan terhadap bantuan kemanusiaan menyebabkan kematian ramai orang awam yang sepatutnya dapat dielakkan.
Menurut laman sesawang rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keluarga di Gaza terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka untuk mendapatkan makanan, dengan kadar malnutrisi akut dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat dua kali ganda, manakala bekalan susu formula bayi hampir kehabisan.
Setiausaha Agung PBB António Guterres sekali lagi menyuarakan kebimbangan terhadap bencana kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, sambil mengulangi gesaan untuk gencatan senjata segera dan berkekalan serta pembebasan semua tawanan tanpa syarat. - BERNAMA