fb fb fb fb fb

Perdana Menteri Tonga letak jawatan sebelum undi tidak percaya

Perdana Menteri Tonga, Siaosi Sovaleni / Foto Reuters

SYDNEY, 9 Disember – Perdana Menteri Tonga, Siaosi Sovaleni mengumumkan peletakan jawatannya sebelum usul undi tidak percaya yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada Isnin, lapor media tempatan.

"Saya akan meletakkan jawatan serta-merta mengikut perlembagaan," ujar Sovaleni ketika berucap di Parlimen, lapor portal berita Matangi Tonga yang memetik kenyataan pejabat Parlimen.

Setakat ini, Reuters tidak berjaya menghubungi pejabat Sovaleni untuk mendapatkan komen, sementara pejabat Parlimen juga tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan maklumat lanjut.

Menurut laporan Matangi Tonga, tiada perbincangan mengenai usul tersebut berlangsung di Parlimen pada Isnin.

Sovaleni dijangka akan mengadakan sidang media lewat hari ini, tambah laporan tersebut.

Jawatan penggantinya belum dipastikan, walaupun usul tidak percaya tersebut dipimpin oleh saingan politik veteran, ‘Aisake Eke.

Sovaleni sebelum ini terpaksa menyerahkan portfolio angkatan bersenjata selepas tekanan daripada Raja Tupou VI, yang mengancam menarik balik kepercayaan terhadap beliau.

Walaupun Sovaleni pada awalnya enggan mematuhi arahan tersebut atas alasan ia melanggar perlembagaan, beliau akhirnya akur selepas menafikan dakwaan menghina raja.

Kerajaan Tonga yang berdepan masalah hutang besar dilihat mudah terdedah kepada tekanan ekonomi dari China.

Negara kepulauan itu berhutang kira-kira AS$130 juta kepada bank eksport China, hampir satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang digunakan untuk membangunkan semula Nuku’alofa selepas rusuhan pada 2006.

Pembayaran balik hutang itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN