fb fb fb fb fb

Pasukan Khas Korea Selatan dedah diperintahkan sekat Parlimen

Foto Reuters

SEOUL, 9 Disember – Kolonel Kim Hyun-tae, Komander Kumpulan Misi Khas 707 Korea Selatan, berkata beliau diperintahkan untuk menghalang Ahli Parlimen daripada memasuki dewan Parlimen bagi menghalang undian untuk membatalkan langkah darurat undang-undang tentera yang diumumkan oleh Presiden Yoon Suk Yeol pada 3 Disember.

Kim, yang mengaku bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serbuan pasukannya ke Parlimen, menjelaskan beliau bertindak mengikut arahan daripada Menteri Pertahanan.

Menurut Kim, unitnya tiba di kawasan Parlimen dengan arahan untuk mengepung bangunan utama bagi menghalang kemasukan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, mereka berhadapan dengan kakitangan Parlimen yang menghalang kemasukan mereka.

"Semua kami adalah mangsa yang digunakan oleh bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun," kata Kim kepada pemberita di luar kementerian pertahanan di Seoul.

"Anggota kumpulan ini tidak bersalah. Kesalahan mereka hanya mengikuti arahan komander mereka," tambahnya sambil menahan sebak.

Kim Yong-hyun, bekas Menteri Pertahanan, ditahan pada Ahad kerana peranannya dalam mengisytiharkan undang-undang tentera dan mengarahkan penempatan tentera di Parlimen.

Pemimpin Parti Kuasa Rakyat, Han Dong-hoon, berkata pada Ahad bahawa Yoon akan dikecualikan daripada urusan luar negara dan hal ehwal negara yang lain.

Parti itu bersama Perdana Menteri Han Duck-soo akan menguruskan urusan kerajaan.

Pengerusi Perhimpunan Nasional, Woo Won-shik, menyatakan adalah tidak mengikut perlembagaan untuk menyerahkan kuasa Presiden kecuali jika Presiden dipecat.

Parti pembangkang utama, Parti Demokratik, yang mengetuai usul pemecatan yang gagal pada Sabtu, mengumumkan mereka akan mengemukakan semula usul tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN