fb fb fb fb fb

Bashar al-Assad di Moscow selepas jaminan keselamatan pangkalan Rusia

Bashar al-Assad / Foto Fail AFP

MOSCOW, 9 Disember – Bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, kini berada di Moscow bersama keluarganya selepas Rusia memberikan suaka atas dasar kemanusiaan.

Perjanjian juga telah dicapai bagi memastikan keselamatan pangkalan tentera Rusia di Syria, lapor media negara Rusia pada Ahad.

Kementerian Luar Rusia mengesahkan Assad telah meninggalkan Syria dan mengeluarkan arahan untuk pemindahan kuasa secara aman.

Langkah tersebut berlaku selepas kumpulan penentang kerajaan memasuki Damsyik tanpa tentangan, sekali gus mengakhiri hampir enam dekad pemerintahan keluarganya yang penuh dengan kekangan.

"Presiden Syria Bashar al-Assad dan ahli keluarganya telah tiba di Moscow. Rusia telah memberikan mereka suaka atas dasar kemanusiaan," menurut laporan agensi berita Interfax dan media kerajaan Rusia yang memetik sumber Kremlin tanpa nama.

Rusia, yang merupakan penyokong utama Assad sepanjang perang saudara di Syria, kini menyokong penyelesaian politik melalui rundingan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), menurut sumber yang sama.

Duta Rusia ke organisasi antarabangsa di Vienna, Mikhail Ulyanov, menulis di saluran Telegramnya: "Berita tergempar! Bashar al-Assad dan keluarganya berada di Moscow. Rusia tidak akan mengkhianati rakan dalam situasi sukar."

Pemimpin pembangkang Syria telah bersetuju untuk menjamin keselamatan pangkalan tentera dan institusi diplomatik Rusia di Syria. Namun, laporan blogger perang Rusia menyebut bahawa situasi di kawasan sekitar pangkalan-pangkalan ini kekal tegang namun tempoh jaminan keselamatan tersebut tidak dinyatakan.

Rusia, yang melibatkan diri secara aktif dalam konflik Syria sejak 2015, kini berusaha mengekalkan pengaruh geopolitiknya di rantau tersebut.

Dua pangkalan tentera utama di Syria, iaitu pangkalan udara Hmeimim di wilayah Latakia dan fasiliti tentera laut di Tartous, adalah aset penting bagi Moscow.

Tartous, satu-satunya hab pembaikan dan pengisian semula Rusia di Laut Mediterranean, juga berfungsi sebagai pusat transit bagi pergerakan kontraktor tentera Rusia ke dan dari Afrika.

Menurut penganalisis ketenteraan Barat, kehilangan Tartous akan menjadi tamparan besar kepada keupayaan Rusia untuk memperkukuhkan kuasa di Asia Barat, Laut Mediterranean, dan Afrika.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN