fb fb fb fb fb

Perbicaraan Imran Khan diadakan menerusi panggilan video

Imran Khan/Foto fail REUTERS

ISLAMABAD, 16 Mei- Perbicaraan bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di Mahkamah Agung pada Khamis diadakan menerusi satu panggilan video dari penjara, berhubung kes yang difailkannya terhadap pindaan kepada undang-undang antirasuah Pakistan.

Perbicaraan secara penggilan video itu dijangka disiarkan secara langsung menerusi laman web mahkamah dan YouTube. Ia menjadikannya visual pertama yang dilihat secara terbuka mengenai pemimpin yang dipenjarakan sejak penahanannya pada Ogos tahun lalu namun visual berkenaan tidak dapat dilihat di laman web ketika prosiding bermula.

Punca siaran tidak dapat dilihat ketika prosiding dijalankan menerusi laman web mahkamah dan YouTube tidak dapat diketahui.

Beribu-ribu penyokong Khan sedang menunggu untuk melihat perbicaraan tersebut.

Khan, 71 tahun berdepan berpuluh-puluh kes mahkamah terhadapnya. Kes pada hari ini adalah berkaitan dengan kes yang difailkannya terhadap pindaan kepada undang-undang antirasuah Pakistan.

Bagaimanapun Mahkamah Agung minggu ini memerintahkan kerajaan supaya memastikan perbicaraan Khan diterbitkan melalui pautan video.

Bekas Perdana Menteri Pakistan itu masih kekal popular biarpun berdepan tuduhan dan kes mahkamah. Ia merupakan sebahagian daripada strategi pesaing politiknya dan tentera berkuasa negara itu untuk mengenepikannya dan menghalangnya daripada kembali berkuasa. Namun perkara itu dinafikan kedua-duanya pihak.

Calon yang disokong Khan memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya negara awal tahun ini namun mereka tidak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Gabungan pesaingnya yang diketuai oleh Perdana Menteri terdahulu Shehbaz Sharif berjaya membentuk kerajaan negara itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI