fb fb fb fb fb

67 maut, 20 lagi masih hilang dalam banjir kilat dan lumpur lava sejuk

Sebuah kereta melanggar sebuah rumah akibat dibawa banjir lumput dan gelongsoran lumpur daripada lava sejuk/REUTERS

TANAH DATAR, 16 Mei- Jumlah penduduk yang maut akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur daripada lava sejuk yang mengalir dari Gunung Merapi pada hujung minggu meningkat kepada 67, manakala 20 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa.

Kerajaan bercadang untuk memindahkan mangsa yang terselamat ke kawasan yang lebih selamat.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia dalam satu kenyataan berkata, lima individu yang dilaporkan hilang ditemukan mati. Ia telah menambah angka kematian kepada 67.

Lebih 4,000 penduduk telah dipindahkan ke bangunan berdekatan dan tempat perlindungan sementara.

Sekurang-kurangnya 521 rumah di kawasan seluas 31,985 hektar termasuk sawah padi, 19 jambatan, dan kebanyakan jalan utama rosak akibat kejadian itu.

Kerajaan bercadang untuk memindahkan mangsa yang terselamat berikutan kediaman mereka tidak boleh didiami. Kawasan berkenaan juga terdedah kepada bencana, kata Ketua BNPB Suharyanto.

BNPB dan kerajaan wilayah Sumatera Barat kini sedang mengumpul data mengenai bilangan penduduk yang perlu dipindahkan, dan sedang mencari kawasan selamat untuk membina kediaman baharu.

"Kerajaan akan menyediakan tanah untuk membina rumah," kata Suharyanto sambil menambah rumah baharu itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

BNPB, dibantu polis dan tentera, untuk meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang dan membersihkan jalan utama dalam tempoh tujuh hari.

Video yang dikongsi BNPB menunjukkan kayu balak, batu dan lumpur memenuhi atas jalan selain jambatan runtuh.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI