fb fb fb fb fb

Dua wilayah di Indonesia dilanda puting beliung, 115 rumah terjejas

Foto REUTERS

MALANG, 3 November - Angin puting beliung melanda dua wilayah di Indonesia, menyebabkan kerosakan teruk pada ratusan rumah dan bangunan tradisional, namun tiada laporan kematian atau kecederaan diterima.

Di Jawa Timur, angin puting beliung melanda Kampung Sumbersekar di daerah Malang sekitar pukul tiga petang waktu tempatan semalam.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Daerah Malang, sebanyak 115 rumah penduduk terjejas dengan sembilan daripadanya musnah teruk, manakala 14 lagi mengalami kerosakan sederhana, dan 92 yang lain hanya mengalami kerosakan kecil.

Kejadian itu turut disertai hujan lebat yang berterusan dari tengah hari hingga ke malam.

Sementara itu, satu lagi kejadian puting beliung dilaporkan berlaku di daerah Tana Toraja, Sulawesi Selatan menyebabkan sebanyak 14 bangunan tradisional masyarakat Toraja termasuk bangsal simpanan padi rosak teruk, dan dua rumah penduduk turut terjejas.

Pihak berkuasa menganggarkan kerugian mencecah ratusan juta hingga berbilion rupiah.

Angin kencang turut menyebabkan pokok tumbang, jalan terhalang, dan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.

Fenomena puting beliung berlaku apabila udara panas dan lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering, seterusnya membentuk pusaran kuat yang boleh membawa kerosakan besar kepada kawasan yang dilanda.- REUTERS

EZA YUSMAWATI YAACOP