fb fb fb fb fb

Perbaiki situasi kemanusiaan atau berdepan sekatan bantuan-AS

Foto REUTERS

WASHINGTON, 16 Oktober – Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada Israel agar mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza dalam tempoh sebulan atau berdepan sekatan terhadap bantuan ketenteraan, kata seorang pegawai AS.

Ia merupakan amaran paling keras dilontarkan AS kepada Israel sejak perang Gaza bermula setahun lalu.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin telah menulis surat kepada pegawai Israel pada Ahad untuk mendesak tindakan konkrit menangani situasi yang semakin buruk di wilayah Palestin tersebut sejak serangan baharu Israel di utara Gaza kata pegawai AS pada Selasa.

Kegagalan untuk bertindak mungkin akan mempengaruhi dasar luar AS, menurut surat tersebut, yang pertama kali dilaporkan oleh saluran berita Israel, News 12.

"Kami sangat bimbang bahawa tindakan terkini oleh Israel menyumbang kepada kemerosotan keadaan di Gaza dengan cepat," kata salinan surat yang disiarkan oleh seorang wartawan Axios di platform X.

Surat itu menyebut beberapa sekatan yang dikenakan Israel, termasuk larangan ke atas import komersial,halangan pergerakan kemanusiaan antara di utara dan selatan Gaza serta sekatan yang "membebankan dan berlebihan" terhadap barang-barang yang boleh dibawa masuk ke Gaza.

Jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby, berkata surat itu bukanlah satu ancaman tetapi menekankan kepentingan segera untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di Gaza.

"Nampaknya, pihak Israel memandang serius perkara ini," kata Kirby tanpa memberi penjelasan lanjut.

Seorang pegawai Israel di Washington mengesahkan surat itu telah diterima dan sedang diteliti.

“Israel memandang serius isu ini dan berhasrat untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan dalam surat ini dengan sekutu kami, Amerika” kata pegawai tersebut.

Surat itu merupakan amaran paling jelas kepada kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sejak konflik Gaza bermula, meningkatkan prospek perubahan dalam sokongan Washington terhadap Israel.

Ia turut menggariskan langkah-langkah spesifik yang perlu diambil oleh Israel dalam tempoh 30 hari, termasuk membenarkan sekurang-kurangnya 350 trak memasuki Gaza setiap hari, melaksanakan jeda dalam pertempuran bagi membolehkan penghantaran bantuan, dan membatalkan arahan pemindahan kepada rakyat Palestin sekiranya tiada keperluan operasi.

"Kegagalan untuk menunjukkan komitmen berterusan dalam melaksanakan dan mengekalkan langkah-langkah ini mungkin mempunyai implikasi terhadap dasar AS dan undang-undang AS yang berkaitan," kata surat itu.

Ia turut merujuk Seksyen 620i Akta Bantuan Luar, yang melarang bantuan ketenteraan kepada negara-negara yang menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan AS.

Surat itu juga mencadangkan saluran baharu untuk AS membincangkan insiden kematian orang awam dengan Israel.

Kirby berkata bahawa Israel tidak mengambil langkah mencukupi untuk menangani pembunuhan orang awam, sambil merujuk kepada serangan peluru berpandu Israel yang mengakibatkan kematian ramai orang awam di Gaza.

Amerika Syarikat sering mendesak Israel untuk meningkatkan keadaan kemanusiaan di Gaza sejak peperangan bermula pada 7 Oktober 2023.

Namun, pentadbiran Biden secara umumnya enggan mengenakan sekatan terhadap bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar yang dihantar ke Israel.

Israel menyatakan bahawa operasi ketenteraan mereka mengikut undang-undang antarabangsa dengan sasaran untuk menghapuskan pejuang Hamas yang bersembunyi dalam terowong dan dalam kalangan orang awam di Gaza.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD