fb fb fb fb fb

Perang perdagangan: Syarikat sawit Indonesia teroka pasaran baharu

Seorang pekerja menyusun buah kelapa sawit di pusat pengumpulan di Kutamakmur, Aceh. / Foto AFP

JAKARTA, 13 April Syarikat-syarikat kelapa sawit Indonesia sedang giat meneroka pasaran baharu di Eropah, Afrika dan Asia barat dalam usaha meminimumkan kesan daripada perang perdagangan yang dilancarkan oleh Presiden Donald Trump, kata seorang tokoh industri perladangan kepada AFP.

Indonesia merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia yang digunakan dalam pembuatan makanan seperti kek, coklat, dan marjerin, serta produk kosmetik, sabun dan syampu dan menyumbang lebih separuh daripada bekalan global.

Namun, tarif import sebanyak 32 peratus yang dikenakan ke atas negara itu menjadikannya antara yang paling teruk terjejas di Asia akibat langkah menyeluruh Trump yang mencetuskan kejutan global.

Minyak sawit merupakan antara eksport terbesar Indonesia ke Amerika Syarikat, dan walaupun Trump telah mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap pelaksanaan tarif tersebut, Indonesia berkata ketidaktentuan semasa memaksa mereka mencari pasaran alternatif.

“Ia sebenarnya memberi ruang untuk kita berunding... supaya produk masih boleh memasuki pasaran di sana. Saya fikir ini sangat baik,” kata Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), Eddy Martono pada Khamis.

Namun beliau memberi amaran bahawa langkah mempelbagaikan pasaran “tetap perlu dilakukan” untuk mengelakkan kesan buruk sekiranya tarif itu dikuatkuasakan kelak. Beliau menambah bahawa syarikat akan menumpukan perhatian ke Afrika khususnya Mesir sebagai pengimport utama Asia Barat, Asia Tengah dan Eropah Timur.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran tradisional. Kita akan teruskan usaha ini. Kita mesti lakukan,” katanya.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD