FREETOWN, 13 April- Kebakaran berlaku di bangunan pejabat Presiden Sierra Leone di pusat bandar Freetown pada Sabtu, namun Presiden Julius Maada Bio dilaporkan tiada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.
Menurut pegawai kanan Jabatan Bomba, kebakaran yang bermula sekitar pukul 4.00 petang waktu tempatan berjaya dikawal sepenuhnya selepas lima jam operasi memadam api dijalankan.
Tiada mangsa dilaporkan cedera, namun beberapa dokumen dan perabot dilaporkan musnah dalam insiden tersebut.
Menurut kenyataan awal Kementerian Penerangan, api dipercayai bermula dari tingkat tiga dan empat bangunan State House, manakala pejabat Presiden yang terletak di tingkat dua tidak terjejas.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti setakat ini.
Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan api marak dari tingkat atas bangunan putih ikonik itu, disertai kepulan asap hitam tebal.
Seorang penduduk tempatan, Mohamed Kamara, berkata: “Kami nampak asap dan api keluar dari tingkap tingkat atas bangunan petang tadi.”
Polis segera mengepung kawasan sekitar bangunan, manakala pasukan keselamatan dan tentera turut dikerahkan bagi mengawal keadaan.
Presiden Bio kini berada di Turkiye bagi menghadiri sebuah persidangan.-AFP