fb fb fb fb fb

Pengecualian tarif untuk barangan elektronik, legakan sektor teknologi AS

Pentadbiran Trump telah mengecualikan telefon pintar, komputer dan barangan elektronik lain daripada tarif "balas setimpal" yang membebankan. /Foto AFP

WASHINGTON, 13 April-Pentadbiran Trump telah mengecualikan sebilangan besar produk elektronik pengguna daripada tarif import yang tinggi.

Keputusan berkenaan sekali gus memberikan kelegaan kepada syarikat teknologi Amerika Syarikat dan sedikit meredakan ketegangan perang perdagangan dengan China.

Menurut notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, produk seperti telefon pintar, komputer riba, cip memori dan barangan teknologi lain dikecualikan daripada tarif global yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump seminggu sebelumnya.

Langkah tersebut diumumkan ketika tarif balas dari China sebanyak 125 peratus ke atas barangan AS mula berkuat kuasa pada Sabtu, menandakan sikap tegas Beijing terhadap rakan perdagangan terbesarnya.

Pengecualian itu dijangka memberi manfaat besar kepada syarikat teknologi AS seperti Nvidia dan Dell, serta Apple, yang mengeluarkan iPhone dan produk premium lain di China.

Secara keseluruhan, langkah itu akan mengurangkan kesan daripada tarif import setinggi 145 peratus yang dikenakan Trump tahun ini terhadap barangan dari China.

Data Kastam AS menunjukkan bahawa barangan yang dikecualikan merangkumi lebih 20 peratus daripada keseluruhan import dari China, menurut penyelidik kanan RAND, Gerard DiPippo.

Walaupun semikonduktor disenaraikan dalam barangan yang dikecualikan, ia mungkin tetap menjadi sasaran tarif khusus industri yang dicadangkan oleh Trump ke atas semua negara.

Trump menyatakan bahawa beliau akan memberikan jawapan "sangat spesifik" mengenai isu tarif semikonduktor pada Isnin ini.

Daniel Ives, penganalisis ekuiti kanan di Wedbush Securities, menyifatkan pengecualian berkenaan sebagai "berita terbaik" buat pelabur teknologi.

Banyak produk yang dikecualikan seperti cakera keras dan pemproses komputer sememangnya tidak dihasilkan di AS, dan Trump berpendapat tarif adalah cara untuk menggalakkan pengilangan domestik.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, menegaskan bahawa syarikat seperti Apple dan Nvidia masih "berusaha keras untuk membawa semula pembuatan mereka ke AS secepat mungkin."

Namun, menurut ramai penganalisis, usaha itu akan mengambil masa bertahun-tahun untuk direalisasikan.

Ahli ekonomi Universiti New York, Nouriel Roubini, mempersoalkan dasar tarif Trump yang dianggapnya "bercanggah, tidak konsisten dan tidak jelas," sambil menambah bahawa ia tidak akan membawa pulang pengeluaran iPhone mahupun barangan murah lain ke AS.

Walaupun ketegangan antara Washington dan Beijing meningkat serta pasaran kewangan bergolak, Trump tetap berpendirian bahawa dasar tarif beliau berada di landasan yang betul.

Beijing pula berikrar untuk tidak tunduk kepada apa yang dilihat sebagai taktik membuli, dengan Presiden Xi Jinping menegaskan bahawa China "tidak takut." dengan dasar tersebut.

Ahli ekonomi memberi amaran bahawa gangguan terhadap perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia ini akan meningkatkan harga pengguna dan boleh mencetuskan kemelesetan global.

AS sahaja menyumbang 16.4 peratus daripada eksport China, menjadikan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara sekitar AS$500 bilion.

Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, menyatakan kepada Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bahawa tarif AS akan "memberi kesan buruk" kepada negara-negara miskin.

“AS terus memperkenalkan langkah tarif, mencetuskan ketidaktentuan dan ketidakstabilan besar di seluruh dunia serta kekacauan di peringkat antarabangsa dan domestik,” kata Wang kepada Ngozi Okonjo-Iweala dalam satu panggilan telefon.

White House menyatakan bahawa Trump kekal "optimistik" untuk mencapai perjanjian dengan China, walaupun pegawai pentadbiran menjelaskan bahawa mereka menjangkakan Beijing akan menghulurkan tangan terlebih dahulu.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD