fb fb fb fb fb

Lebih 114 orang awam terbunuh di Sudan

Foto Reuters

KHARTOUM, 13 April - Lebih 114 orang awam dilaporkan terkorban dalam tempoh dua hari serangan Pasukan Rapid Support Forces (RSF) ke atas dua kem pelarian di El Fasher, ibu negeri wilayah Darfur Utara di barat Sudan, menurut kenyataan seorang pegawai tempatan pada Sabtu.

“Lebih 100 orang awam terbunuh akibat serangan kejam yang dilancarkan RSF ke atas kem pelarian Zamzam semalam (Jumaat), dengan puluhan lagi cedera.

“Pada hari ini (Sabtu), serangan lain turut dilancarkan ke atas kem pelarian Abu Shouk, mengorbankan 14 orang awam dan mencederakan ramai yang lain,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Darfur Utara, Ibrahim Khatir kepada Xinhua.

Khatir turut mendedahkan antara mangsa yang terbunuh di kem Zamzam ialah sembilan kakitangan Relief International, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan hospital lapangan di kem berkenaan.

Sementara itu, "Emergency Room" iaitu sebuah organisasi sukarelawan melaporkan bahawa sebanyak 40 orang awam maut dan ratusan lagi cedera pada Sabtu berikutan serangan oleh RSF ke atas kem Abu Shouk.

Setakat ini, RSF masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Sejak 10 Mei 2024, pertempuran sengit tercetus di El Fasher antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan RSF.

Krisis bersenjata antara SAF dan RSF yang meletus sejak pertengahan April 2023 mengorbankan lebih 29,600 nyawa, menurut data daripada "Armed Conflict Location and Event Data" sebuah kumpulan pemantau krisis, dipetik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF