fb fb fb fb fb

Tentera Lubnan ganti Hizbullah di Selatan

Orang awam memeriksa kerosakan di lokasi yang disasarkan oleh serangan udara Israel pada malam sebelumnya di Hawsh Tal Safiyeh, berhampiran Baalbek di Lembah Bekaa Timur, Lubnan. /AFP

BEIRUT, 13 April-Kebanyakan tapak ketenteraan milik Hizbullah di selatan Lubnan kini berada dalam kawalan tentera Lubnan, menurut sumber yang rapat dengan kumpulan itu pada Sabtu.

Gencatan senjata pada 27 November yang mengakhiri konflik lebih setahun antara Hizbullah dan Israel termasuk dua bulan peperangan besar-besaran menetapkan bahawa hanya pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan tentera Lubnan dibenarkan beroperasi di selatan negara itu.

Perjanjian itu mengkehendaki Hizbullah, kumpulan yang disokong Iran, membongkar semua infrastruktur ketenteraan yang masih ada di selatan dan memindahkan para pejuangnya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.

“Daripada 265 tapak ketenteraan Hizbullah yang dikenal pasti di selatan Sungai Litani, kumpulan itu telah menyerahkan kira-kira 190 lokasi kepada tentera,“ kata sumber tersebut yang enggan dikenali.

Di bawah gencatan senjata itu, Israel sepatutnya mengundurkan tenteranya sepenuhnya dari Lubnan pada 18 Februari, selepas terlepas tarikh akhir pada Januari. Namun, Israel masih mengekalkan tenteranya di lima lokasi yang dianggap strategik.

Israel juga terus menyerang apa yang didakwanya sebagai infrastruktur atau anggota Hizbullah di Lubnan.

Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun dalam ucapannya sempena ulang tahun perang saudara Lubnan 1975–1990 merayu agar agar Hizbullah melucutkan senjata.

“Kerana kita semua sepakat bahawa sebarang pemilikan senjata di luar kuasa negara… akan membahayakan kepentingan Lubnan… sudah tiba masanya kita semua menyatakan: Lubnan hanya boleh dilindungi oleh negara, tentera dan pasukan keselamatan,“ katanya.

Timbalan Duta Khas AS untuk Timur Tengah, Morgan Ortagus, telah membincangkan isu pelucutan senjata Hezbollah dengan pemimpin kanan Lubnan semasa lawatannya ke Beirut minggu lalu, menurut seorang pegawai Lubnan.

Ortagus berkata pelucutan senjata itu perlu dilakukan “secepat mungkin.”-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD