fb fb fb fb fb

Hamas siar video tahanan Israel-Amerika, kritik Netanyahu

Tebusan Israel, Edan Alexander, telah ditahan di Gaza sejak serangan oleh Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023. / Foto AFP

GAZA, 13 April-Kumpulan Hamas menyiarkan satu video yang menunjukkan seorang tahanan Israel-Amerika yang masih hidup mengkritik kerajaan Israel kerana gagal membebaskannya.

Kumpulan kempen Israel, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, mengenal pasti beliau sebagai Edan Alexander, seorang tentera dalam unit infantri elit yang berada di sempadan Gaza semasa diculik dalam serangan pada 7 Oktober 2023.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, menerbitkan klip berdurasi lebih tiga minit itu yang menunjukkan tahanan berkenaan duduk di ruang kecil dan tertutup.

Dalam video itu, Alexander menyatakan hasratnya untuk pulang menyambut cuti perayaan Paskah.

Israel kini sedang menyambut perayaan berkenaan sempena memperingati pembebasan orang Israel dari perhambaan di Mesir menurut kitab suci.

Alexander, yang menyambut ulang tahun ke-21 semasa dalam tahanan, dilahirkan di Tel Aviv dan dibesarkan di New Jersey, Amerika Syarikat, sebelum kembali ke Israel selepas tamat persekolahan untuk menyertai tentera.

"Ketika kita mula menyambut malam perayaan di Amerika Syarikat, keluarga kami di Israel sedang bersiap untuk duduk di meja Seder," kata keluarga Alexander dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh forum tersebut.

"Edan kami, seorang tentera tunggal yang berhijrah ke Israel dan menyertai Briged Golani untuk mempertahankan negara dan rakyatnya, masih ditahan oleh Hamas."

"Apabila anda duduk menyambut Paskah, ingatlah bahawa ini bukanlah perayaan kebebasan selagi Edan dan tebusan-tebusan lain belum pulang," tambah kenyataan itu.

Keluarga Alexander tidak memberikan kebenaran kepada media untuk menyiarkan rakaman video tersebut.

Dalam video itu, Alexander kelihatan bercakap dalam keadaan terpaksa, membuat gerakan tangan kerap sambil mengkritik kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana gagal membebaskannya.

Video itu disiarkan beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Israel Katz mengumumkan kawalan ketenteraan ke atas apa yang dikenali sebagai koridor "paksi Morag", iaitu kawasan tanah antara bandar selatan Rafah dan Khan Yunis.

Katz juga membentangkan rancangan untuk meluaskan serangan ketenteraan Israel ke seluruh wilayah Gaza.

Dalam kenyataan berasingan awal Sabtu, Hamas berkata operasi Israel di Gaza bukan sahaja membahayakan orang awam Palestin, tetapi juga nasib saki-baki tebusan.

Serangan tersebut bukan sahaja "membunuh orang awam yang tidak bersenjata, malah menjadikan nasib tawanan pihak penjajah tidak menentu," kata Hamas.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD