fb fb fb fb fb

Bas terkena IED di Borno, 8 terbunuh

FOTO HIASAN

KANO, 13 April- Seramai lapan orang terbunuh manakala 21 lagi cedera apabila sebuah bas meletup selepas melalui kawasan dipasang periuk api di negeri Borno, timur laut Nigeria, wilayah yang sering menjadi sasaran kumpulan militan jihad.

Menurut Gabenor Borno, Babagana Umara Zulum, letupan berlaku di lebuh raya sepanjang 100 kilometer yang menghubungkan ibu negeri Maiduguri dan bandar Damboa. Beliau berkata, periuk api itu dipercayai dipasang oleh kumpulan militan Boko Haram.

Lebuh raya tersebut sebelum ini pernah ditutup selama sebulan atas faktor keselamatan dan hanya dibuka semula baru-baru ini.

“Ketiadaan kenderaan di jalan ini membolehkan kumpulan militan memasang IED (alat letupan buatan sendiri).

“Namun kami tetap akan teruskan pergerakan di laluan ini, dan tidak akan tunduk dengan taktik mereka," katanya.

Kumpulan Boko Haram dan ISWAP (Islamic State West Africa Province) sering melancarkan serangan hendap terhadap konvoi serta kini semakin kerap menggunakan periuk api selepas kehilangan banyak wilayah yang pernah dikuasai mereka.

Dalam insiden berasingan pagi tadi, seorang askar maut dan empat lagi cedera apabila kenderaan tentera mereka meletup akibat periuk api berhampiran Wulgo, berdekatan sempadan Cameroon.

Dua minggu lalu, ISWAP melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera di Wulgo yang menempatkan pasukan Cameroon, menyebabkan 25 anggota terbunuh, selain memusnahkan kem dan merampas senjata serta kenderaan.

Zulum sebelum ini memberi amaran bahawa negeri Borno kini menyaksikan kebangkitan semula serangan oleh kumpulan Boko Haram, yang kini dilaporkan telah kembali menguasai tiga daerah di kawasan Tasik Chad.

Konflik bersenjata yang bermula sejak 2009 itu telah meragut lebih 40,000 nyawa dan memaksa kira-kira dua juta penduduk melarikan diri dari timur laut Nigeria. Keganasan turut merebak ke negara jiran seperti Niger, Chad dan Cameroon, sekaligus mendorong penubuhan pasukan serantau untuk memerangi militan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE