fb fb fb fb fb

Gaza: Serangan udara Israel musnahkan sebahagian Hospital Al-Ahli

Seorang wanita Palestin yang kehilangan tempat tinggal bersama anaknya berjalan melepasi runtuhan sebuah bangunan yang musnah di kem pelarian Bureij, Gaza /Foto AFP

GAZA, 13 April- Sebahagian hospital Al-Ahli dilaporkan musnah dalam serangan udara Israel pada Ahad, kata Agensi pertahanan awam Gaza.

Serangan berkenaan semakin memuncak ketika tentera Israel meneruskan kemaraannya di wilayah Palestin yang dilanda perang.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini. Tentera Israel memaklumkan kepada AFP bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung insiden tersebut.

Menurut agensi pertahanan awam di wilayah yang dikendalikan Hamas itu, pesawat tempur Israel menyasarkan bangunan hospital yang turut dikenali sebagai Hospital Baptist atau Hospital Arab Ahli, hanya beberapa minit selepas tentera mengeluarkan amaran agar semua pesakit, termasuk yang cedera dan pengiring mereka mengosongkan premis tersebut.

“Pengeboman itu menyebabkan kemusnahan bangunan pembedahan serta stesen penjanaan oksigen untuk unit rawatan rapi,” kata agensi tersebut dalam kenyataan.

Sejak konflik meletus pada Oktober 2023, hospital di Gaza yang sepatutnya dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa sering menjadi sasaran serangan udara Israel.

Pihak tentera Israel menuduh Hamas menggunakan terowong di bawah hospital dan menjadikan kemudahan perubatan sebagai pusat kawalan dan pelancaran serangan, tuduhan yang dinafikan keras oleh Hamas.

Hospital Al-Ahli sebelum ini pernah mengalami kerosakan besar akibat letupan di kawasan parkir kereta pada 17 Oktober 2023, yang meragut banyak nyawa. Ketika itu, Hamas dan Jihad Islam menuduh Israel bertanggungjawab, namun Israel menafikan dan menyalahkan roket yang dilancarkan oleh Jihad Islam, dakwaan yang turut disokong oleh Amerika Syarikat.

Pejabat media Hamas pada Ahad mendakwa Israel telah menyerang hospital-hospital di Gaza dengan “pengeboman, pembakaran dan kemusnahan,” menjadikan banyak hospital “tidak lagi beroperasi”.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat 28 Mac, hanya 22 daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi sebahagian.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 1,563 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata runtuh pada 18 Mac lalu, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak permulaan perang mencecah 50,933 orang.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD