fb fb fb fb fb

Indonesia sasar pasaran baharu sawit, kurangkan kebergantungan terhadap AS

Langkah itu perlu diambil sebagai usaha menghadapi ketidaktentuan pasaran berikutan pengenaan tarif import sebanyak 32 peratus terhadap produk sawit dari Indonesia.

JAKARTA, 13 April – Syarikat pengeluar minyak sawit Indonesia kini giat meneroka pasaran baharu di Eropah, Afrika dan Timur Tengah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat.

Ini susulan ancaman perang perdagangan yang dicetuskan oleh bekas Presiden Donald Trump baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), Eddy Martono berkata, langkah itu perlu diambil sebagai usaha menghadapi ketidaktentuan pasaran berikutan pengenaan tarif import sebanyak 32 peratus terhadap produk sawit dari Indonesia.

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran tradisional semata-mata. Inisiatif mencari pasaran baharu mesti diteruskan agar industri sawit negara terus bertahan," katanya kepada AFP.

Indonesia merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia, merangkumi lebih separuh daripada bekalan global dan antara pengeksport utama produk itu ke Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pengumuman Trump untuk menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari memberikan sedikit ruang kepada Indonesia untuk berunding.

"Tempoh ini sebenarnya peluang untuk kita berunding supaya produk kita masih boleh memasuki pasaran Amerika Syarikat. Ini sangat baik untuk industri," jelas Eddy.

Antara pasaran baharu yang menjadi tumpuan eksport minyak sawit Indonesia termasuk Mesir, negara-negara di Timur Tengah, Asia Tengah serta Eropah Timur.

Menurut data GAPKI, eksport produk sawit Indonesia ke Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan daripada 1.5 juta tan pada 2020 kepada 2.5 juta tan pada 2023.

Eddy turut menggesa kerajaan Indonesia untuk terus mengekalkan penguasaan pasaran minyak sawit di Amerika Syarikat.

Ini memandangkan saingan terdekatnya iaitu Malaysia dikenakan tarif lebih rendah.

"Kita perlu mempertahankan penguasaan pasaran ini kerana 89 peratus pasaran minyak sawit di Amerika Syarikat dikuasai oleh Indonesia," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani mengumumkan langkah untuk menurunkan cukai eksport minyak sawit mentah sebagai usaha membantu daya saing produk negara itu di pasaran antarabangsa.

Langkah itu disambut baik oleh Eddy namun beliau akui kira-kira 2.5 juta pekebun kecil di Indonesia turut terkesan sekiranya isu tarif ini berlarutan tanpa penyelesaian.

Pengerusi Majlis Nasional Kesatuan Petani Sawit Indonesia (SPKS), Mansuetus Darto berkata, kegagalan mencapai perjanjian boleh menyebabkan lebihan bahan mentah dan menjejaskan hasil petani.

"Jika bahan mentah sawit tidak dapat dipasarkan, hasil tanaman akan bertimbun dan petani tidak dapat meneruskan aktiviti menuai kerana kapasiti kilang sedia ada tidak mampu menampung lebihan itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pula memilih pendekatan diplomasi dan bakal menghantar delegasi peringkat tinggi ke Washington dalam masa terdekat bagi berunding isu berkenaan.

"Kerajaan perlu bersiap sedia untuk berunding sebaik mungkin dengan Amerika Syarikat kerana masih ada masa sebelum tarif ini dikuatkuasakan," tambah Mansuetus.

GRACE AISYAH KEDAYAN