fb fb fb fb fb

Perancis tarik balik arahan pemakaian pelitup muka di semua pengangkutan awam

PARIS, 11 Mei- Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika berada di dalam semua pengangkutan awam di Perancis berkuat kuasa 16 Mei depan.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran berkata, kerajaan bersetuju menarik balik arahan tersebut susulan jumlah jangkitan wabak berkenaan menunjukkan penurunan yang ketara.

"Pemakaian pelitup muka tetap digalakkan namun mewajibkannya tidak lagi sesuai buat masa ini memandangkan kes COVID-19 telah berkurangan.

Pelitup muka tidak lagi diperlukan di dalam kereta api, kapal terbang dan metro di Perancis mulai Isnin depan," katanya selepas mesyuarat kabinet mingguan.

(Olivier Veran, Menteri Kesihatan Perancis / Foto AFP)

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka dan pas kesihatan vaksin COVID-19 masih lagi diwajibkan untuk memasuki hospital.

Semalam, 56,449 kes COVID-19 direkodkan di Perancis, kebanyakannya daripada varian Omicron.

Setakat ini 79.3 peratus rakyat negara itu telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Perancis mencatatkan kira-kira 147,000 kematian sejak wabak itu mula dikesan di negara itu.- AFP

Media Baharu