AUCKLAND, 11 Mei- New Zealand akan membuka semula sepenuhnya sempadan antarabangsa mulai pukul 11.59 malam pada 31 Julai depan.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan, pembukaan semula sempadan itu dijadualkan dua bulan lebih awal berbanding jangka masa yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.
Reuters melaporkan, kapal persiaran juga dialu-alukan untuk kembali berlabuh di pelabuhan tempatan pada hari yang sama.
Ardern berkata pembukaan semula sempadan akan membantu meredakan kekangan kemahiran mendesak, merancakkan semula sektor pelancongan dan meletakkan persekitaran imigresen pada kedudukan yang lebih terjamin.
"Sebab itu hari ini saya mengumumkan inisiatif untuk memulihkan semula ekonomi, pada masa sama menumpukan cabaran jangka masa panjang yang akan dihadapi," katanya.
(Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand / Foto REUTERS)
New Zealand mempunyai beberapa sekatan paling ketat di dunia semasa pandemik dan baru-baru ini mula mengurangkan langkah yang semakin tidak popular.
Ia bertujuan memulihkan sektor pelancongan dan mengurangkan kekurangan tenaga kerja.- REUTERS