PARIS, 5 November – Pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan terhadap syarikat e-dagang Asia, SHEIN, susulan dakwaan menjual patung seks menyerupai kanak-kanak di platformnya yang mencetuskan kemarahan awam di negara itu.
Jurucakap Shein di Perancis, Quentin Ruffat, berkata syarikat itu sedia mendedahkan nama pembeli dan akan memperketat sistem dalaman bagi mengelak insiden berulang.
“Ini perkara serius, tidak boleh diterima dan amat menjijikkan,” katanya kepada stesen radio RMC.
Pendakwa Raya Paris mengesahkan siasatan turut membabitkan AliExpress, Temu dan Wish atas dakwaan mengedar kandungan lucah yang boleh diakses oleh bawah umur.
Siasatan bermula selepas unit antipenipuan Perancis melaporkan syarikat e-dagang itu menjual patung setinggi 80 sentimeter dengan kapsyen berunsur seksual.
Shein kemudian mengharamkan semua produk patung seks dan memadam imej berkaitan.
Kontroversi tercetus menjelang pembukaan kedai fizikal pertama Shein di BHV Paris.
Pengarah SGM, Frédéric Merlin, mengakui hampir membatalkan kerjasama namun meneruskannya selepas Shein menunjukkan kerjasama penuh.
Pertubuhan Mouv’Enfants turut mengadakan protes di depan BHV mendesak syarikat itu bertanggungjawab secara politik dan moral. - AFP