BERLIN, 5 November – Jerman merancang untuk meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine sebanyak €3 bilion (RM15.5 bilion) pada tahun depan.
Bantuan itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada sekitar €11.5 bilion (RM59.6 bilion) bagi menyokong negara itu menentang pencerobohan Rusia.
Jurucakap Kementerian Kewangan Jerman berkata Menteri Kewangan Lars Klingbeil akan menambah peruntukan €3 bilion (RM15.5 bilion) itu dalam proses bajet Parlimen bagi tahun 2026.
“Peruntukan tersebut merangkumi antara lain artileri, dron, kenderaan berperisai dan penggantian dua sistem pertahanan udara Patriot,” katanya kepada AFP.
Beliau menegaskan Jerman kekal teguh di sisi Ukraine serta merupakan penyokong terbesar negara itu di Eropah dari segi kewangan, ekonomi dan ketenteraan.
“Kami akan terus memberikan sokongan selama mana perlu bagi mempertahankan Ukraine daripada perang pencerobohan Rusia,” katanya. - AFP