PARIS, 9 Mac- Perancis mengecam sekeras-kerasnya keputusan Israel baru-baru ini untuk membina hampir 3,500 unit rumah baharu di Tebing Barat.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Kementerian Luar Perancis meminta Israel untuk segera membatalkan keputusan itu.
"Kami menyeru kerajaan Israel untuk segera membatalkan keputusan ini, yang tidak boleh diterima, menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab.
"Penempatan Israel di Palestin telah membawa kepada pengusiran dan perobohan struktur milik rakyat Palestin yang secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan mesti dihentikan.
"Pos luar yang juga haram di bawah undang-undang Israel, mesti dibongkar tanpa berlengah-lengah," menurut kenyataan itu.