fb fb fb fb fb

Lima maut dan 10 cedera, akibat dihempap bungkusan bantuan di Gaza

Foto Fail

PALESTIN, 9 Mac- Sekurang-kurangnya lima maut di utara Gaza akibat dihempap bungkusan bantuan yang dilepaskan dari ruang udara.

Kegagalan fungsi payung terjun yang membawa bantuan itu, turut mencederakan 10 orang lagi mangsa.

Mangsa telah dibawa ke hospital Al-Shifa di bandar Gaza, kata ketua jururawat bilik kecemasan, Mohammed al-Sheikh kepada AFP.

Tambah Sheikh, insiden itu berlaku di utara kem pelarian pantai Al-Shati.

Seorang saksi, Mohammed Al-Ghoul memberitahu AFP, dia dan abangnya mengikuti bantuan payung terjun dengan harapan untuk mendapatkan "sebungkus tepung".

"Kemudian, secara tiba-tiba, payung terjun itu tidak terbuka dan jatuh seperti roket di atas bumbung rumah. Sepuluh minit kemudian saya melihat orang ramai memindahkan beberapa mayat dan mangsa cedera," katanya kepada AFP di sini.

Amerika Syarikat dan Jordan antara negara yang memberikan bantuan tersebut di utara Gaza.

Sumber tentera Jordan memberitahu AFP bahawa kerajaan negara itu tidak terlibat dengan insiden berkenaan.

"Masalah teknikal telah menyebabkan beberapa payung terjun yang membawa bantuan tidak dapat dibuka dan jatuh di Gaza. Ia bukan dari pesawat Jordan. Empat pesawat Jordan yang melakukan bantuan berkenaan dengan kerjasama lima negara lain, menjalankan misinya tanpa sebarang gangguan," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa lebih banyak trak dibenarkan untuk memasuki Gaza melalui lebih banyak lintasan sempadan. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM