PARIS, 20 November- Perancis sedang bersedia untuk menawarkan bantuan perubatan ke Gaza yang dilanda perang, kata pejabat presiden Perancis pada Ahad.
Ia menerusi kapal 'Dixmude' yang akan berlayar pada permulaan minggu dan tiba di Mesir dalam beberapa hari akan datang," kata pejabat Presiden Emmanuel Macron.
Penerbangan sewa yang membawa lebih daripada 10 tan bekalan perubatan juga dirancang untuk permulaan minggu ini.
"Perancis juga akan menyumbang kepada usaha Eropah dengan peralatan perubatan dalam penerbangan Eropah pada 23 dan 30 November," kata pejabat presiden.
Ia menambah bahawa "Perancis sedang menggerakkan semua cara yang ada untuk menyumbang kepada pemindahan kanak-kanak yang cedera dan sakit yang memerlukan rawatan kecemasan dari Semenanjung Gaza ke hospitalnya".
Macron kemudiannya berkata di X bahawa kira-kira 50 kanak-kanak boleh diterbangkan untuk rawatan di hospital di Perancis 'jika perlu'.
Israel berikrar untuk memusnahkan pejuang Hamas sebagai tindak balas serangan pada 7 Oktober lalu.
Di Gaza, 13,000 orang, terutamanya orang awam dan lebih 5,000 daripadanya adalah kanak-kanak, telah dibunuh, menurut pegawai Hamas.
Macron juga memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terdapat "banyak kerugian orang awam" di Gaza, kata pejabatnya pada Ahad.
Pemimpin Perancis itu juga mengingatkan Netanyahu tentang "keperluan mutlak untuk membezakan pengganas daripada penduduk" dan penting untuk segera mencapai gencatan senjata.
Macron pada hari Sabtu bercakap dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengenai rundingan berterusan untuk membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza.
Menteri Pertahanan Perancis, Sebastien Lecornu pada hari Sabtu berada di Qatar mengetuai usaha pengantaraan.
Presiden Perancis dan rakan sejawatannya dari Mesir bersetuju mengenai "keperluan untuk menambah bilangan trak yang memasuki Gaza dan untuk mengukuhkan penyelarasan bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan dan merawat mereka yang cedera," kata pejabat Macron. -AFP