PARIS, 8 Julai- Suasana politik Perancis dihambat kebuntuan sejak tiga minggu sebelum negara itu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada 26 Julai depan, ia sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengetahui siapa yang akan memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Ketidaktentuan itu menyebabkan Perdana Menteri Perancis Gabriel Attal menawarkan peletakan jawatan pada petang Ahad berikutan pilihan raya mengejut yang mengakibatkan parlimen digantung.
"Negara kita sedang menghadapi situasi politik yang belum pernah berlaku sebelum ini dan sedang bersedia untuk menjadi tuan rumah dunia dalam beberapa minggu," kata Attal.
Sama ada peletakan jawatan itu diterima atau tidak, ia bergantung kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron. Bagaimanapun beliau masih belum memberikan keputusan berkenaan secara terbuka.
Tidak jelas sama ada ketua negara akan berusaha untuk mengekalkan kerajaan sementara, tetapi perikatan sayap kiri yang mendahului undi pada Ahad menyaksikan tiada majoriti. Perkara itu mendesak untuk menamakan calon yang akan menggantikan Attal.
Nasib Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin, yang telah mengawasi semua persiapan keselamatan untuk temasya itu masih tidak diketahui.
"Apa yang paling dibimbangkan oleh penganjur ialah jenayah, dan sudah tentu keganasan, termasuk keadaan lalu lintas," kata seorang profesor sejarah dan sukan di Universite of Franche-Comte di Perancis, Paul Dietschy.
"Menteri Dalam Negeri adalah jawatan paling penting."
Darmanin berkata minggu lalu bahawa jika Perhimpunan Nasional sayap kanan atau parti sayap kanan Perancis Unbowed membentuk kerajaan, maka beliau akan meletakkan jawatan serta-merta.
"Sukan Olimpik telah disediakan dengan sangat baik. Semua orang tahu dan semua orang mengalu-alukannya," katanya kepada AFP.- AFP