fb fb fb fb fb

Modi adakan lawatan kerja ke Rusia, selepas dilantik Perdana Menteri India

Narendra Modi (kiri) bersalaman dengan Vladimir Putin/ REUTERS

MOSCOW, 8 Julai- Perdana Menteri India Narendra Modi tiba di Rusia pada Isnin dalam rangka lawatan kerja antara lain ingin mengekalkan hubungan kedua-dua negara selain meningkatkan tahap keselamatan dengan Barat.

Lawatan sulung ke Rusia itu selepas Modi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri India pada bulan lalu.

"Saya berharap untuk mengkaji semula semua aspek kerjasama dua hala dengan rakan saya Presiden Rusia Vladimir Putin dan berkongsi perspektif mengenai pelbagai isu serantau dan global," kata Modi dalam satu kenyataan.

Moscow kekal sebagai pembekal utama minyak ke India, tetapi pengasingan Kremlin dari Barat dan persahabatan yang baik dengan Beijing telah memberi kesan kepada perkongsian yang telah lama dengan New Delhi.

Kuasa Barat dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga memupuk hubungan dengan India sebagai benteng untuk menentang China kerana pengaruh negara tembok besar itu semakin meningkat di Asia-Pasifik.

Kali terakhir Modi melawat Rusia ialah pada 2019 dan beliau juga menjadi tuan rumah kepada Putin di New Delhi dua tahun kemudian iaitu beberapa minggu sebelum Rusia memulakan serangan terhadap Ukraine.

"Perdana Menteri India Modi tiba di Rusia dalam lawatan rasmi," kata agensi media kerajaan.

China dan India bersaing untuk mendapatkan pengaruh strategik di seluruh Asia Selatan.

India, Amerika Syarikat, Jepun dan Australia adalah sebahagian daripada kumpulan quad yang meletakkan misi dalam menentang penguasaan China yang semakin meningkat di rantau Asia-Pasifik.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI